Followers

Sunday, October 25, 2009

Unsur wangian dalam lanskap











Lanskap yang mempunyai unsur wangian semulajadi akan lebih menenangkan minda. Tumbuhan berbunga merupan pilihan yang tepat untuk mendapatkan wangian semulajadi. Antara yang sering ditanam di sekitar rumah ialah pokok akar dani, melur, cempaka, tikam seladang dan sebagainya. Kebanyakan bunga-bunga ini mengeluarkan bau yang harum diwaktu senja. Foto ialah bunga akar dani dan cempaka.

Wednesday, October 21, 2009

Budak menangis

Kenapa budak menangis? selalunya kerana hajatnya tidak dipenuhi, tidak puas hati, takut, marah, lapar dan yang paling kerap ialah kerana kena marah. Budak dalam foto diatas menangis sebab kena marah, kerana mengacau orang tengah shoot gambar. cuba lihat ekspesi wajahnya. Saya tersenyum...

Tuesday, October 20, 2009

Tips penjagaan Paku langsuir dan Paku Rusa











Pokok hiasan memerlukan baja untuk menjadikannya subur dan segar. Setakat yang saya tahu, baja terbaik untuk paku langsuir dan paku rusa ialah kulit pisang. Letakkan kulit pisang di tengah-tengah gugusan tumbuhan tersebut dan lihat hasilnya, setelah 2 hingga 3 minggu pucuk baru akan mula keluar dengan subur. Selain itu kedua-dua tumbuhan tersebut tidak sesuai didedahkan terus kepada cahaya matahari. Siraman mesti dalakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Bagi yang tiada masa untuk menyiram elok tempatkan pokok paku dikawasan yang terdadah kepada hujan, atau letakkan lampin pakai buang yang mengandungi gel silikon.

Monday, October 19, 2009

unsur kayu dalam lanskap







Kayu merupakan salah satu unsur kejur dalam lanskap. Antara unsur kayu yang sering digunakan ialah bangku, kerusi, meja, arca dan pondok. Gabungan unsur kayu dengan kemasan rustik memberi kesan gaya tropikal yang harmoni. Lebih membanggakan sekiranya perabot-perabot kayu itu dibuat sendiri. Set kerusi meja kayu dan bangku cengal dalam gambar diatas merupakan hasil kerja tangan saya sendiri manakala kerusi buaian kayu pula dibeli dari peniaga di Pasir Puteh.

Friday, October 16, 2009

Rekaan lanskap persekitaran







Bermula minggu ini saya akan membincangkan tentang senireka lanskap, bersesuaian dengan pembelajaran seni visual tingkatan enam rendah di sekolah yang telahpun memasuki bab tersebut. Rekaan taman dan lanskap banyak menggunakan elemen-elemen lembut seperti air dan tumbuhan. Manakala batuan, kayu dan bata pula merupakan elemen kejur yang akan mewujudkan keseimbangan visual. Gambar-gambar yang akan dipaparkan dalam posting ini dan seterusnya diambil di sekitar lanskap rumah saya. Semuanya dari usaha kami sekeluarga yang kebetulan sama-sama meminati aktivti menata rias laman. Lanskap yang indah tidak semestinya memerlukan belanja yang besar. Memadai sedikit kesabaran dan usaha sebagai modal.

Thursday, October 15, 2009

KARYA UKIRAN TERBARU




Foto diatas ialah karya ukiran saya yang terbaru, hampir siap cuma perlu diberi sedikit 'finishing'. Masih menggunakan motif yang sama tetapi dengan aturan yang lebih formal mingikut prinsip imbangan simeteri.

Tuesday, October 13, 2009

RAMUAN TRADISIONAL UNTUK MANDI TERSAT





Antara amalan orang Melayu selepas bersalin ialah ibu-ibu akan berpantang selama 40 hari. Selepas tempoh itu mereka akan melakukan 'mandi tersat' atau mandi wap dengan menggunakan ramuan tradisional terdiri dari daun-daun herba yang terdapat di sekitar kampung. Antara daun yang digunakan ialah daun pinang, daun semeru, daun pandan, daun sireh dan beberapa jenis daun yang saya kurang pasti namanya. Hanya orang tua-tua yang berpengalaman tahu akan ramuan ini. Cuba kenali daun-daun tersebut melalui gambar diatas.

Monday, October 12, 2009

KUNTUM MAWAR PERTAMA DI TAMAN




foto diatas ialah kuntum mawar yang pertama dari taman di sekitar rumah saya. Pagi Jumaat lepas kuntuman ini terbit menyerikan lagi lanskap kami yang sederhana. Baunya sungguh wangi dan menyegarkan. Begitu sempurna ciptaanmu.

Wednesday, October 7, 2009

FUNGSI LUKISAN




Dalam teori seni visual pelajar didedahkan dengan fungsi lukisan yang antaranya ialah sebagai lakaran awal sebelum menghasilkan sesuatu objek seni seperti catan, cetakan mahupun arca. Dalam penghasilan karaf tradisional, melukis juga merupakan proses awal sebelum pengahsilan produk. Dalam lawatan ke bengkel ukiran En Rosman di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini saya sempat melihat beberapa lukisan corak beliau yang dihasilkan di atas kertas dan pada permukaan kayu yang akan di ukir. Ini menguatkan lagi hujah bahawa proses melukis merupakan langkah yang paling penting sebelum menghasilkan produk seni.

Monday, October 5, 2009

KARYA SENI VISUAL STPM 2009 YANG TELAH DI HANTAR KE MPM
















Diatas merupakan karya-karya seni visual STPM 2009 yang telah siap dan dihantar ke MPM. Tahniah kepada semua calon Seni Visual STPM. Semooga pencapaian mereka menjadi ikutan murid-murid tingkatan 6 rendah untuk meneruskan kecemerlangan mereka.

Monday, September 28, 2009

apa khabar semua

Salam aidilfitri, alahamdulillah dapat muncul semula setelah lama tidak berbicara. Projek pengkaryaan seni visual STPM telah sempurna 100% hari ini. Lega ..... umpama lepas hutang 1000. Nantikan update terbaru dengan gambar-gambar yang menarik.

Wednesday, September 16, 2009

TARIAN PENDET MILIK SIAPA?

Tahniah kepada penduduk Indonesia yang begitu menyayangi budaya bangsa mereka. Tetapi cuba fikirkan ini: Tarian Pendet sebenarnya milik siapa? Jika kalian kurang maklumat biar saya jelaskan. Penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum etnik yang datang dari serata pelosok nusantara. Antara etnik yang dominan di Malaysia ialah kaum Jawa, Banjar, Mandaling, Bugis, Batak dan banyak lagi. Mereka adalah antara penghijrah awal yang datang kesini sebelum penubuhan Malaysia lagi. Mereka berhijrah dengan membawa bersama budaya nenek moyang mereka. Siapalah kita untuk menghalang mereka menamalkan budaya mereka walau dimanapun mereka tinggal.
Mari kita lihat satu lagi contoh, di negeri Johor misalnya kaum Jawa disana masih mengamalkan dan mempersembahkan BARONGAN yang juga berasal dari Indonesia. Adakah mereka bersalah kerana mengamalkan budaya sendiri. Cuba kalian fikir, siapakah yang paling menghayati dan menghargai seni budaya kita melainkan kita sendiri. Tiada siapa yang akan mencuri budaya dari bangsa yang tiada perkaitan dengan mereka. Jadi tidak timbul masalah Mencuri budaya seperti yang didakwa oleh ekstrimis yang menjalankan sekatan di Jakarta baru-baru ini.
Cuba kalian rujuk atlas dunia, lihat saja kedudukan Geografi Malaysia dan kepulauan Indonesia, kita amat dekat bahkan serumpun sebenarnya. Apalah salahnya jika budaya kita berkembang keserata dunia? bukankah itu sesuatu yang baik untuk terus menyuburkan seni persembahan yang kian pupus. Saya menyeru kepada kumpulan yang penunjuk perasaan di Jakarta agar berfikir semula dengan lebih rasional, kenali siapa jiran kalian dan sapa pula musuh.
Lihat saja negara Thailand yang membenarkan seni pertahanan diri nya Muay Thai, Tomoi atau Kick Boxing berkembang keserata pelosok dunia sehingga menjadi antara sukan pertahanan diri yang paling meluas diamalkan di seluruh dunia. Adakah ini merugikan Thailand? Seni Sukan tersebut teap dikenali sebagai Muay Thai bukanya Muay Malaysia. Seluruh perguruan Muay Thai terus menghatar pelatih-pelatih mereka untuk belajar tekniknya di Thailand. Ini sedikitpun tidak mengurangkan autoriti Thailand terhadap seni pertahnan diri tersebut.

Fikir-fikirkan.

Sunday, September 13, 2009

PERCUBAAN STPM SENI VISUAL KERTAS 2 HARI INI


Peperiksaan percubaan STPM bagi peringkat negeri Kelantan berakhir hari ini dengan kertas Seni Visual 2 (970/2). Tahniah kepada semua calon, semoga terus berusaha untuk menghadapi peperiksaan sebenar tidak lama lagi. Foto diatas adalah skema untuk soalan peperiksaan hari ini. Selamat mengejar lailatulqadar....... semuanya.

Thursday, September 10, 2009

karya terbaru siap sepenuhnya
















Alhamdulillah, hari ini saya telah sempat menyiapkan sepenuhnya karya ukiran kayu ke tiga hasil pembelajaran dengan Cikgu Azmi. Sungguh indah, cantik, anggun, dan mengujakan. Inilah seni yang berasal dari budaya leluhur kita. Ia tidak kalah dengan seni kontemporari yang lain kerana ia sentiasa hidup dan berkembang seiring dengan aliran-aliran semasa. Bunga yang diukir adalah ciptaan sendiri dengan berpegang pada prinsip-prinsip reka corak ukiran kayu yang diperturunkan oleh Cikgu Azmi. Hanya pengamal seni ukir yang mahir menilai seninya kerana ia melibatkan rasa (feel) dalam mempersembahkan idea. Seni ukir juga menggunakan elemen-elemen seni yang biasa. Kita berurusan dengan garisan, jalinan, rupa, bentuk, warna, ruang, harmoni, imbangan, kadar banding, kontra dan pelbagai istilah yang sering ditemui dalam bahasa seni visual. Selain itu terdapat ciri-ciri abstrak, stailisasi dan realis dalam persembahan ukiran kayu. Dengan itu saya menganggap seni kraf tradisional adalah satu bentuk ekspresi seni visual yang setaraf dengan seni moden, bahkan sepatutnya lebih diberi ruang untuk apresiasinya.

Thursday, September 3, 2009

ALAHAI SI WAYANG KULIT

Apakah nasib yang bakal berlaku kepada seni persembahan rakyat wayang kulit? Semasa zaman kanak-kanak saya sekitar tahun 70an hingga 80an muzik wayang kulit sering bergema memeriahkan kegelapan malam di ceruk-ceruk kampung. Sungguh indah bunyinya sehingga menarik minat saya untuk menjengah ke bangsal tempat persembahan. Dengan bayaran tiket 50 sen untuk kanak-kanak kami begitu asyik menikmati cerita-cerita kelakar, perang, sedih dan gembira persembahan dalang tersohor Dollah Baju Merah.
Sekarang, pada tahun 2009, Sebelum Ramadhan baru-baru ini saya sempat singgah di tempat orang mempersembahkan seni Wayang Kulit di Pasir Puteh. Tidak ramai penonton seperti dulu-dulu, mungkin kerana orang sekarang mempunyai bayak pilihan hiburan yang lain. tiket dijual dengan harga RM 1 sahaja untuk persembahan selama 2 jam. Sungguh mengharukan. Wayang Kulit perlukan inovasi. Apa yang akan mematikannya ialah apabila ia tidak lagi mampu menyara ekonomi para penggiatnya. Mereka akan meninggalkan kerjaya tersebut bila hasilnya tidak berbaloi. Ada Tok Dalang yang telah mula menghasilkan sketsa wayang kulit melalui seni animasi dan dijual dalam bentuk CD. Ini perkembangan yang bagus, tetapi watak dalam animasi tidak lagi sama seperti watak dalam persembahan asal.
Seni kepandaian tangan yang asal semakin di lupakan. Mungkin kumpulan Wayang Kulit patut berkerjasama dengan pihak hotel dan badan-badan korporat supaya seni ini terus bernafas. Penggiat wayang kulit boleh mempromosikan syarikat-syarikat korporat melalui cerita dalam persembahan mereka manakala syarikat korporat pula menyumbangkan penajaan. Tentu boleh, asalkan ada pengurusan yang cekap. Lagu Wayang Kulit dalam video dibawah mengembalikan ingatan semasa zaman kanak-kanak saya, sungguh asyik.


Wednesday, September 2, 2009

teknik gosokan dalam lukisan




Foto diatas ialah kerja lukisan menggunakan teknik gosokan. Guru-guru seni selalunya melarang murid-murid mereka menggunakan teknik ini kerana menganggapnya salah. Saya pernah bertanya kepada seorang guru yang menjadi pemeriksa kertas Seni Visual STPM 970/3 dan reaksinya juga sama seperti guru-guru yang lain iaitu menanggapnya seolah-olah haram dan tidak layak di berikan markah. Kenapa ya? jika dilihat pada hasilnya, lukisan tersebut kelihatan berjaya. Pelukis berjaya menonjolkan bentuk objek dengan kesan ton yang baik. Jika rajin merujuk buku-buku ilmiah kita akan temui teknik gosokan juga merupakan salah satu teknik melukis; samada digosok dengan jari, tisu atau kain ianya tetap mampu menghasilkan lukisan yang baik. Malahan teknik gosokan juga amat popular dalam kalangan pereka dan pelajar dalam bidang reka bentuk industeri dan seni logam halus. Mereka membuat Lukisan rendering dengan soft pastel menggunakan kaedah gosokan. Guru-guru seni yang mengharamkan kaedah gosokan biasanya menerima pendidikan berorientasikan seni halus. Semoga guru-guru seni yang terbabit mampu membuka ruang lingkup pendidikan seni kepada cabang-cabang seni yang lain.

Sunday, August 30, 2009

PERKEMBANGAN KARYA PELAJAR STPM 09
















Foto beberapa karya pelajar yang agak berkualiti. Peperiksaan percubaan STPM bermula 1 September 2009 mungkin akan membantutkan sementara proses pengkaryaan calon Seni Visual 970/3. Diharap agar semua calon terus menyiapkan kerja pengkaryaan sambil melalui musim peperiksaan ini dengan tenang. Stress adalah sesuatu yang lumrah, tanpa stress hidup menjadi bosan. Hadapi nya secara positif sesungguhnya kenikmatan yang amat sangat akan dirasai setelah anda berjaya melalui sesuatu tempoh tekanan yang singkat.

Monday, August 17, 2009

Langkah seterusnya- Pada kanvas




Selepas semua kerja folio selesai, satu daripada tiga cadangan karya akan di pindahkan ke kanvas. Media akrilik amat dicadangkan dalam pengkaryaan ini. Sudah ada 5 murid yang telahpun mula berkarya diatas kanvas. Ini merupakan "stage" terakhir dalam proses pengkaryaan Seni Visual 970/3 yang kita lalui bersama sepanjang 6 bulan yang lalu.

progres karya Seni Visual STPM 2009











Perkembangan karya murid tingkatan 6 atas semakin menggalakkan. terbaru koleksi dari folio Nursyuhaida, 6A4. Tahniah kepada beliau yang menunjukkan peningkatan ketara dalam karya.

Wednesday, August 12, 2009

lama tak update

Agak lama saya tak update blog ini kerana sibuk dengan perkhemahan kokurikulum sepanjang minggu ini. Nampaknya karya murid tingkatan enam atas semakin memberansangkan. Gambar-gambar perkembangan terbaru mereka akad dipamerkan disini dalam masa terdekat.

Wednesday, August 5, 2009

INOVASI DALAM PENDIDIKAN SENI














LATIHAN UNTUK MURID YANG FOBIA DENGAN WARNA
Pernah melukis dan mewarna secara freehand menggunakan perisian Photoshop? Sila cuba sendiri aktiviti ini. Mewarna menggunakan brush tools dalam perisian Photoshop dapat melatih keberanian murid menggunakan campuran pelbagai warna semasa menghasilkan catan. Setelah beberapa latihan menggunakan perisian tersebut, cuba hasilkan catan yang sama mengunakan kaedah konvensional iaitu berus dan cat. Lihat kesannya, murid-murid akan lebih berani bermain dengan warna dan dapat menguasai kemahiran mewarna dengan lebih baik.