Followers

Thursday, January 30, 2020

KARYA SENI : BAYANGAN DIRI


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, dipanjatkan rasa syukur tidak terhingga kehadrat Ilahi kerana memberikan kesempatan untuk kita terus memikul amanah ditahun baharu 2020. Dengan izin Allah Blog Seni tampak akan terus komited menyiarkan artikel berkaitan perkembangan seni visual terkini. Semoga bermanafaat sebagai rujukan penuntut- penuntut seni visual dan semua yang sudi berkunjung ke laman ini.

            Kali ini Blog Seni Tampak  amat bertuah kerana diberi penghormatan oleh pelukis sendiri untuk menulis apresiasi beberapa karya terbaharu beliau. Sebagai pembuka tahun, kami persembahkan karya terbaharu En Azian Hasyim. Bagi pengunjung baru mungkin belum mengenali siapakah Azian Hasyim, maka sekali lagi saya perkenalkan secara ringkas. Beliau merupakan seoarang pelukis keluaran UiTM Shah Alam 1993-1996, seorang guru yang bergiat aktif secara istiqomah berkarya dan menyertai pameran sejak mula bergelar graduan hingga sekarang. Sepanjang penglibatan, beliau banyak memenagi pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh  agensi-agensi awam dan korporat.


HONEY

144CM X 140 CM
Media Campuran
2019
Koleksi : En Zulfikri Yahya




            Karya beliau berjudul “HONEY” yang disiapkan dalam tahun 2019 menggunakan media campuran diatas kanvas merupakan koleksi peribadi En Zulfikri Yahya. Struktur asas sebuah karya seni ialah berkenaan bentuk dan makna. Bentuk ialah setiap perlakuan yang terzahir diatas permukaan kanvas sementara makna memerlukan penelitian terhadap aspek lain dalam lingkungan karya itu sendiri. Kedua-dua komponen ini akan kita selusuri seadanya. Penikmatan sesebuah karya seni dari perspektif audien biasanya  lebih kepada bentuk karya. Diperingkat ini mereka mula-mula sekali mencari imej apakah yang dipapar oleh pelukis. Karya ini memang dipersembahkan secara abstrak, namun masih dapat dikenali imej seolah kumpulan lebah berterbangan serta bunga-bungaan memenuhi setiap pelosok ruang. Penggunaan skema warna analogous mewujudkan kesan harmoni, lembut dan damai dari sudut  visual. Kesan tersebut dioptimumkan lagi dengan perulangan garisan, jalinan dan warna begitu teratur walaupun pengkarya seorang ekspresionis tegar. Seluruh ruang telah digunakan sebaik mungkin membawa pandangan khalayak untuk terus berlegar kesegenap inci karya.

            Peringkat seterusnya ialah penikmatan dari sudut makna. Khalayak sebenarnya bebas untuk menginterpretasi sendiri makna sesebuah karya. Kaedah asas untuk memahami karya ialah dengan merujuk pada tajuknya. “HONEY” bermaksud madu. Bila dihubungkan dengan imej-imej dalam karya kita akan lihat kesinambungan antara bentuk dan maknanya semakin jelas. Meneliti lebih dalam lagi mungkin pelukis cuba mengekspresi rasa terpesona terhadap penciptaan madu itu sendiri. Mengajak khalayak untuk sama-sama berfikir dan merasa takjub dengan  lebah yang begitu kecil saiznya mampu berkerja keras mengumpul manisan dari bunga-bungaan yang bertebaran dimuka bumi untuk dimanafaatkan oleh manusia. Namun ini semua hanya kemungkinan sahaja. Makna yang sebenar masih tersimpan kemas pada pengkarya itu sendiri.

Pencinta seni tampak biasanya tidak akan merasa betul-betul puas dengan memahami karya secara andaian. Pencinta seni terutamanya pelajar harus dekat dengan karya seni. Lawati galeri-galeri yang menempatkan karya seni, jumpa dengan seniman untuk membina pengetahuan. Maka metode yang seterusnya ialah berhubung langsung dengan pengkarya, berdialog , diskusi untuk maklumat yang lebih jitu. Dalam pertemuan dengan En Azian Hasyim beliau hanya memberi satu pernyataan yang ringkas iaitu:

An Nahl: 68.
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarang mu di gunung- ganang dan pokok-pokok kayu, dan juga bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

An Nahl: 69.
Kemudiannya makanlah dari segala jenis bunga bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepada mu. (Dengan itu ) akan keluarlah dari dalam badanya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

Kalau begitu karya ini adalah adalah luahan pelukis berdasarkan pengajian beliau terhadap ayat-ayat suci al Quran. Segala imej  dikutip dari sana jadi maknanya juga perlu dirujuk dari sana. Ayat- ayat diatas sudah begitu jelas, mudah difahami oleh semua orang, tidak perlu sebarang ulasan, apa lagi dari penulis yang tidak berautoriti dalam bidang tafsir.

 Jadi saya akan mengulas dari sudut yang lain. Penulisan selanjutnya mungkin akan menjadi “Too religious”. Tunggu dulu, kenapa nak fobia dengan “religious”? “We are religiously people”. Normal, tak ada apa yang pelik pun. Karya seni adalah manifestasi diri pelukis yang mewakili pemikiran, idea, perasaan, sistem nilai dan pegangan. Apa sahaja yang yang berkaitan dengan diri pelukis dan lingkungannya akan mempengaruhi hasil seni mereka. Pada pandangan penulis Azian Hasyim telah pun tiba ke satu titik dimana karya beliau tidak lagi berdiri secara tunggal. Setiap karya mempunyai hubung kait antara satu sama lain. Apresiasi perlu dilihat secara kolektif seolah naratif penceritaan yang sentiasa bersambung.



Lihat sahaja karya beliau yang seterusnya ini, berjudul MUNAJAT, disiapkan dalam tahun 2019 menggunakan  media campuran. Merupakan koleksi peribadi Datin Norbiha Abd Hamid.




MUNAJAT
144cm x 140cm
Media Campuran
Koleksi : Datin Norbiha Abd Hamid


Sejujurnya inilah karya yang paling penulis gemari dalam ketiga-tiga catan terbaharu Azian Hasyim. Sekali pandang sahaja sudah mampu menjentik rasa teramat tenang. Itu lah tujuan seni itu sebenarnya. Pengkarya begitu bijak bermain dengan unsur asas seni seperti warna, garisan, jalinan, dan rupa.Variasi warna-warna lembut diatur dengan teliti, garisan dan jalinan yang sentiasa berulang sama sekali tidak membosankan.


Karya MUNAJAT, menjadi lebih metafizik berbanding yang sebelumnya. Pelukis cuba membawa khalayak terbuai sama dalam nikmat berhubung dengan Sang Pencipta. Komposisi berlapis-lapis mungkin membawa maksud susunan petala. Warna hijau serta imej seolah gunung-ganang dibahagian bawah catan mewakili bumi seterusnya lapisan bahagian atas adalah langit. Satu tiang yang tegak dari bawah keatas di tengah-tengah catan mungkin untuk menjelaskan satu hubungan yang tidak pernah putus antara hamba dengan penciptanya, melalui munajat manusia akan sedar akan hakikat itu. Bermunajat adalah satu bentuk amalan dalam disiplin ilmu kesufian memerlukan pengamal bersunyi-sunyian dengan tuhan dalam waktu tertentu bagi mencapai tahap-tahap kesedaran rasa bertuhan.  


Persoalan tema bukan lagi keutamaan dalam karya-karya beliau. Azian mula mengambil tanggung jawab dakwah dengan bidang seni tampak sebagai mediumnya.  Ya, kenapa tidak? Seorang muslim tidak boleh memisahkan agamanya mengikut bidang-bidang tertentu kerana Islam adalah cara hidup. Kehidupan berseni juga tidak terpisah dari agama. Karya-karya Azian amat jelas mampu mencetuskan pemikiran atau sekurang kurangnya persoalan yang memaksa audien mengkaji.

Pernyataan pengkarya sendiri mengenai catan ini adalah seperti berikut:

 Hati menjadi tenang dengan mengingati Allah..qasad hati menuju dan memohon kepada nya. Bina hubungan akrab dengan Allah. Terbentuk rasa ingat mengingati, jiwa jadi tenang bila sentiasa bersama Allah.

Frirman Allah : Al Baqarah 152:
Kerana itu, ingatlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepada mu dan bersyukurlah kepada Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku.

… “Aku di sisi mereka yang hancur hatinya kerana mengingatiKu.” Janganlah kosongkan siang dan malam mu dari waktu untuk bersunyi diri dengannya dan engkau berlazat-lazat dengan munajatnya.



          Naratif bersambung lagi dengan karya terakhir buat kali ini bertajuk UKHWAH, 2019,  media campuran. Karya ini merupakan koleksi En Azmi Che Alias (Bangkok, Thailand).


UKHWAH
144cm x 140cm
Media Campuran
Koleksi : En Azmi Che Alias (Bangkok, Thailand)


            Karya Ukhwah sekali lagi memaparkan mod damai dengan permainan pelbgai warna biru yan lembut di sulam dengan suhu panas dari warna merah, kuning dan jingga. Disini pengkarya melampiaskan segala ekspresinya secara total tanpa memikirkan soal imej. Seratus peratus abstrak. Sapuan berus kelihatan dinamik , bertenaga seolah pelukis begitu menikmati proses pengkaryaannya.

            Kalau HONEY memaparkan hubungan antara manusia dengan alam, MUNAJAT berkisar tentang hubungan manusia dengan tuhan, UKHWAH pula meraikan hubungan sesama manusia. Pelukis mempromosikan hubungan silaturrahim yang begitu ditekankan dalam ajaran agama. Saling berziarah, berkunjung, berjumpa mata kerana Allah, dijanjikan ganjaran pahala yang besar. Ukhwah itu sendiri bermaksud ikatan hubungan, samada antara rakan taulan, saudara mara, saudara seagama bahkan sesama seluruh manusia amnya.

            Berikut adalah pernyataan pelukis terhadap karya ini:

Sabda Rasulullah SAW:

Barang siapa yang mengunjungi orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka malaikat berseru “Berbahagialah kamu, berbahagialah dengan perjalananmu dan kamu telah mendapat salah satu tempat di syurga.” HR. At-Tirmidzi.

            Antara nikmat kurniaan Allah SWT kepada golongan mukmin yang beriman dan bertaqwa padanya adalah merasai keindahan dalam perhubungan persaudaraan. Hubungan yang terjalin hanya bermatlamatkan Allah SWT. Sesungguhnya amat manis dan indah, ukhwah yang dilandaskan atas dasar rasa kasih sayang kerana Allah SWT.

Seni Islam Bukan Sebatas Arabes dan Khat

            Setelah meneliti 3 karya  terbaharu Azian hasyim serta merujuk karya-karyanya yang lampau, jelas sekali bawa seni Islam itu tidak harus dibataskan dalam lingkungan penghasilan seni yang memaparkan corak geometrik Arabes serta seni tulisan khat sahaja. Bertepatan dengan fitrah Islam itu sendiri yang sentiasa sesuai dengan semua zaman, semua tempat dan semua keadaan. Walaupun pernyataan ini seolah agak kontra dengan pendapat popular sarjana seni, namu penulis tetap bersetuju bahawa pendapat popular itu juga benar.

 Sekali pun karya itu bersifat ekspresionisma yang agresif, selagi ia membawa mesej kebenaran dan kedamaian maka boleh diterima sebagai seni Islam. Apabila pemikiran Islamik di terjemah ke permukaan kanvas maka karya tersebut tetap menyampaikan mesej-mesej kearah menarik manusia agar lebih mencintai Allah. Mengajak manusia kearah mengesakan Allah adalah tugas mulia yang harus dipikul oleh setiap yang beriman. Tidak perlu menjadi alim dahulu baru berdakwah. 

Sebagai kesimpulan, karya-karya Azian Hasyim terbina identitinya seiring dengan masa dan pengalaman beliau. Segala ekspresi yang ditarikan dipermukaan kanvas adalah reflek dari pada pengalaman bergiat dalam bidang seni tampak selama lebih 20 tahun. Seiring dengan proses mendalami agama anutannya, mengenal pencipta, mujahadah dalam beramal, bermuamalah dengan “client”, istiqamah atas jalannya. Maka pada tahun ini 2020 Masihi, penulis secara peribadi  percaya Azian Hasyim telah pun mencapai tahap “Golden Ages”dalam konteks pengkaryaannya. Kanvas itu miliknya, calitlah apa sahaja maka ia bukan lagi contengan yang sia-sia, ia dibuat dengan beralaskan kajian dan pemikiran intelektual yang jitu.

Kepada pelajar-pelajar seni dan pencinta seni tampak amnya, carilah beliau, menuntut lah dari beliau. Minta lihat “sketch book”nya, disitu terkandung segala apa yang saya tulis diatas, bahkan lebih lagi. Semoga tulisan ini meberi manafaat kepada semua. Sekian buat kali ini. Semoga Allah memberkati kita semua, Amiin.

No comments:

Post a Comment